Seramai 300 individu terpilih menerima zakat daripada Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) pada majlis penyampaian berlangsung secara ringkas di ibu pejabat, di sini, semalam.
Daripada jumlah tersebut, 197 penerima merupakan golongan asnaf, 95 anak-anak yatim selain tujuh lagi termasuk bekas kakitangan syarikat dan penerima lain.
Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Haji Che Ibrahim Che Ismail berkata, tidak seperti tahun sebelum ini, majlis kali ini diadakan dalam suasana sederhana mengambil kira situasi negara sedang berdepan penularan pandemik Covid-19, ketika ini.
“Majlis penyerahan zakat kali ini cukup berbeza bersesuaian amalan normal baharu di mana peserta kena mematuhi penjarakan sosial, kebersihan tangan dan memakai pelitup muka.
“Malah bagi mematuhi SOP (prosedur operasi standard) penerima zakat dikehendaki datang secara berperingkat-peringkat mengikut waktu ditertentu bagi memastikan tidak berlaku kesesakan,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengarah Pentadbiran dan Undang-Undang E-Mutiara, Hajah Naemah Ya’acob, Pengurus Akaun, Siti Nor Zulhaida Yusoff, Pegawai Operasi Kanan, Mohammad Anuar serta kakitangan syarikat itu.
Haji Che Ibrahim atau Pak Nik Lah memberitahu, pemberian zakat kepada individu terpilih itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dalam menyantuni golongan kurang berkemampuan.
Menurutnya lagi, walaupun sektor ekonomi negara terjejas teruk susulan penularan Covid-19 namun E-Mutiara tetap tidak lupa tanggungjawab mereka terhadap komuniti setempat.
“Bagi E-Mutiara sendiri selaku pengendali pengangkutan awam memang turut terkesan tetapi kami menganggap apa yang berlaku ini ada hikmahnya. Di sebalik kesusahan kita, ada lagi yang lebih susah sebenarnya.
“Jadi, tahun ini kami meneruskan tradisi meraikan golongan kurang berkemampuan dengan mengagihkan zakat agar ia dapat meringankan beban mereka,” katanya.