Pengendali perkhidmatan pengangkutan awam, Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) meraih kejayaan berganda pada Majlis Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia, baru-baru ini.
Syarikat bas ekspres yang berpusat di Kelantan itu membawa pulang dua daripada 10 kategori pada majlis yang menyaksikan sebanyak 30 syarikat dan individu menerima anugerah masing-masing.
Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail menerima Anugerah Ikon Usahawan Tahunan 2020 manakala E-Mutiara pula menggondol Anugerah Syarikat Terunggul Tahunan 2020 bagi perkhidmatan bas ekspres.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Shamsudin menyampaikan hadiah kepada pemenang. Hadir sama Penasihat NiagaTimes, Emir Abdul Jalal.
Majlis anjuran NiagaTimes bertemakan ‘Menuju Kemuncak Gemilang Usahawan’ itu bertujuan menghargai usaha dan sumbangan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pembangunan industri di Malaysia.
Sementara itu, Che Ibrahim berkata, kejayaan merangkul dua anugerah itu memahat satu lagi sejarah dan pengiktirafan penting bagi E-Mutiara selepas beroperasi hampir tiga dekad lalu.
“Kepada para pelanggan dan penumpang yang menggunakan perkhidmatan kami, anugerah ini adalah untuk anda juga kerana kami tidak mungkin berada pada pencapaian seperti hari ini tanpa sokongan anda.
“Begitu juga pasukan (pekerja) kami, rakan-rakan niaga, mereka sentiasa bekerja keras memastikan E-Mutiara terus kekal berdaya saing sebagai pemain industri pengangkutan awam di negara ini,” katanya.