Langkah Maju Menuju Masa Depan Mobiliti 'Premium'
Johor Bahru, 30 Julai 2025 – Satu lagi lembaran baharu tercipta dalam sejarah Konsortium E-Mutiara Berhad apabila berlangsungnya Majlis Penyerahan Bas Baharu Ekspres Mutiara di Gemilang Coachwork Sdn. Bhd., Johor. Majlis ini menjadi simbol komitmen berterusan syarikat dalam usaha memperkasa sektor pengangkutan awam negara, khususnya di Pantai Timur, dengan menawarkan perkhidmatan yang lebih selamat, selesa dan berkualiti tinggi.
Bas baharu ini dibina berasaskan casis MAN RR5 26.440 Euro 5, sebuah jentera yang terkenal dengan prestasi enjin yang mantap, kecekapan bahan api serta piawaian emisi mesra alam. Dipadankan pula dengan binaan badan oleh Gemilang Coachwork, antara pemain utama dalam industri pembuatan badan bas di Asia, kombinasi teknologi ini menjanjikan satu lonjakan dari aspek keselamatan, ketahanan dan reka bentuk moden.

Majlis penyerahan ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat dari kedua-dua pihak, termasuk Pengarah Urusan MAN Malaysia dan Pengarah Urusan Gemilang Coachwork. Pihak E-Mutiara pula diwakili oleh Tuan Haji Che Ibrahim Che Ismail (Pak Nik Lah), Pengerusi Eksekutif, dan Puan Naemah Ya'acob, Pengarah Urusan, yang telah menyampaikan ucapan penuh makna dan visi masa depan.
Sebagai simbolik permeteran kerjasama strategik ini, Pak Nik Lah dan Pengarah Urusan Gemilang telah bersama-sama menurunkan tandatangan pada plak perasmian khas, menandakan pelancaran rasmi jentera baharu ini ke dalam armada E-Mutiara.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran pegawai-pegawai dari pelbagai jabatan dan unit syarikat, yang menjadi tunjang kejayaan dan kekuatan E-Mutiara selama ini. Kehadiran mereka membuktikan bahawa kejayaan hari ini bukan hanya hasil teknologi, tetapi juga berkat semangat berpasukan dan dedikasi kolektif seluruh warga kerja E-Mutiara.

Pelancaran bas baharu ini bukan sekadar penggantian fizikal aset, tetapi satu manifestasi visi syarikat dalam meningkatkan tahap profesionalisme dan kecekapan operasi, selaras dengan kehendak dan keperluan penumpang masa kini.
Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, daripada rakan teknologi, pihak pengurusan, warga kerja sehinggalah kepada para penumpang yang terus menyokong perjalanan kami.
Nantikan kemunculan jentera baharu ini di laluan pilihan anda, menjanjikan pengalaman perjalanan yang lebih selesa, mewah dan menyenangkan.
MAN UP YOUR TRAVEL EXPERIENCE WITH E-MUTIARA.