Penyerahan Bas Baharu Ekspres Mutiara

Konsortium E-Mutiara Berhad menerima lima unit bas baharu MAN yang dibina oleh Truckquip di Sri Kembangan. Penyerahan ini memperkukuh mutu perkhidmatan, keselamatan dan keselesaan kepada penumpang.

Pada 8 September 2025, Konsortium E-Mutiara Berhad telah menerima penyerahan lima unit bas baharu MAN yang dibina di atas casis MAN oleh Truckquip (TQ) di Sri Kembangan, Selangor. Penyerahan ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha syarikat untuk memperkukuh armada dan menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih selesa serta selamat kepada pelanggan.

Pengarah Urusan Konsortium E-Mutiara, Puan Naemah, berkata kerjasama dengan Truckquip bermula selepas pandemik melalui penghasilan dua unit bas khas Mutiara Luxe, yang menerima maklum balas amat positif daripada penumpang. Dari aspek penyelenggaraan, prestasi bas juga menunjukkan keberkesanan tinggi dengan sokongan teknikal daripada pihak MAN.

“Selepas menerima kumpulan pertama casis MAN, kami menghantar tujuh unit ke Truckquip. Hari ini, lima unit telah siap dan diserahkan kepada kami,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAN Malaysia, Encik Marc Appelt, mengucapkan terima kasih kepada Truckquip atas mutu kerja yang tinggi serta kecekapan dalam menyiapkan unit bas baharu tersebut. Beliau turut memaklumkan bahawa pengeluaran di kilang MAN kini giat dijalankan bagi menyiapkan baki 50 unit bas MAN yang ditempah oleh pelbagai syarikat tempatan.

Bas MAN menawarkan kombinasi terbaik dari segi kebolehpercayaan, keselesaan, keselamatan, penjimatan bahan api dan kelestarian. Ia turut dilengkapi sistem bantuan pemandu serta speed limiter yang selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya

Dengan penyerahan lima unit bas baharu MAN ini, Konsortium E-Mutiara yakin dapat memperkukuh mutu perkhidmatan kepada penumpang sambil mengekalkan piawaian keselamatan dan keselesaan yang tinggi. Kerjasama erat bersama Truckquip dan MAN akan terus diperkukuh sebagai sebahagian strategi jangka panjang untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih moden, selamat dan lestari.

MAN up your travel experience!

Leave a Reply