
KOTA BHARU, 29 Januari 2026 – Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Anthony Loke Siew Fook bersama Yang Amat Berhormat Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan, hari ini secara rasmi melancarkan perkhidmatan BAS.MY Kota Bharu, satu inisiatif strategik yang bertujuan memperkukuh sistem pengangkutan awam bandar di negeri Kelantan.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail, yang mewakili pihak pengendali perkhidmatan.
Sebagai pengendali rasmi, Konsortium E-Mutiara Berhad bertanggungjawab memastikan BAS.MY Kota Bharu beroperasi secara berjadual, berdaya harap serta berorientasikan keperluan pengguna. Perkhidmatan ini memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, keselesaan penumpang dan kebolehcapaian laluan bagi memastikan pengalaman perjalanan yang lebih baik kepada rakyat.
Ketika ditemui selepas majlis pelancaran, Che Ibrahim Che Ismail berkata:
“E-Mutiara komited untuk memastikan perkhidmatan BAS.MY Kota Bharu dilaksanakan dengan standard operasi yang tinggi dan berpaksikan keperluan rakyat Kelantan. Fokus kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang boleh diharap, mudah diakses dan memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.”
Pelaksanaan BAS.MY Kota Bharu dijangka memberi impak positif secara langsung kepada rakyat Kelantan, termasuk menyediakan kemudahan mobiliti harian yang lebih mudah dan menjimatkan kos. Selain itu, perkhidmatan ini turut menyokong aktiviti ekonomi setempat, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian serta meningkatkan tahap keselamatan perjalanan — khususnya bagi pelajar, pekerja, warga emas serta golongan berpendapatan sederhana dan rendah.
Pelancaran ini mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kelantan dan Konsortium E-Mutiara Berhad dalam membangunkan sistem pengangkutan awam yang inklusif, mampan dan mesra rakyat demi kesejahteraan komuniti.
Bas.My Kota Bharu, Mobiliti Untuk Semua

